Kudrat

Di sebuah negeri yang jauh, tinggallah seorang pemuda bernama Kudrat. Dia seorang yang berbudi, kuat, juga gagah berani. Tetapi, kisah ini bukan untuk menceritakan kekuatan zahirnya, melainkan kekuatan hatinya. Dia memiliki seorang ibu yang sudah uzur, dan seorang ayah yang pemabuk. Kudrat hanya bekerja sebagai petani. Di masa lapangnya, dia menjadi pekerja kasar dengan tugas seperti memperbaiki bumbung yang bocor, memotong rumput, dan juga membersihkan ladang orang. Ini dilakukan demi keluarganya, demi masa depan yang lebih baik. Namun, takdir tidak sentiasa mulus, banyak liku yang perlu ditempuh. Duit yang susah payah dicari, digunakan secara semena-mena oleh sang ayah. Jika tidak diberi, adakala sang ayah akan mengambilnya secara diam. Jika mahu, boleh sahaja Kudrat menggunakan kekerasan untuk menundukkan ayahnya. Dia sudah dewasa, dia mampu. Tetapi, itu bukanlah pilihan terbaik. Bukan sesuatu yang diperintahkan oleh Allah S.W.T, dan bukan juga sesuatu yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. 
"Ya Allah, sesungguhnya Kau-lah sang pemilik hati. Lembutkan hati ayah untuk berubah. Jika ini memang ujian untuk aku, kurniakan aku kesabaran yang cukup untuk menghadapi dugaanmu." Itu merupakan doa yang sering diucapkannya secara lisan mahupun di dalam hati. Doa ini lebih kerap diulang-ulang ketika tahap kemarahan dan kebenciannya memuncak. Benci pada ayahnya sendiri? Ya. Itulah perasaan yang terpaksa Kudrat tanggung. Benci, dengan kelakuan ayahnya. Benci, kerana melihat kesanggupan seorang kepala keluarga yang mengorbankan keluarganya hanya demi kepuasan peribadi. Kakak dan adik perempuannya telah dijual kepada orang kaya di kota. Sebelum ini, kudrat ibunya juga dikerah habis-habisan untuk memenuhi segala keperluan keluarga, ditambah juga dengan segala kemahuan ayahnya, sehinggalah ibunya jatuh sakit dan terlantar. Pedih hatinya mengenangkan kenyataan itu. 
     "Aku nak duit. Mana duit kau?" kasar soalan itu menyapa telinga. 
     "Hari ni, Kudrat cuma dapat sikit. Cukup untuk beli barang dapur ja," balasnya perlahan. Amarah ditahan semampunya, penumbuk digenggam untuk meredam gejolak rasa. Apa saja yang dilakukan ayahnya, terlihat salah di matanya. 
     "Bagi aku! Kau tu muda lagi. Setakat tak makan sehari, tak ada matinya!" Suara itu masih terdengar kasar.
     "Mak tak sihat, kena dulukan. Ayah tu, kira nak beli yang bukan-bukan ja. Cuba fikir sikit pasal isteri, pasal keluarga," suara Kudrat mula bergetar. Perasaannya mula tersulut api. 
     "Aku ni Ketua keluarga! Kau tu kena dengar cakap aku! Aku kata, aku nak duit. Kau pekak ke? Bagi aku duit!"
Suara itu seperti petir yang menyambar seisi rumah kayu itu. 
Kudrat yang sudah tidak mampu menahan perasaannya terus masuk ke bilik sang ibu lalu menguncinya. Ketika ini, walaupun hanya satu sen, dia tidak sudi memberikannya kepada ayah seperti itu.
     "Buka! Aku nak duit!" Jeritan itu kembali menggema. 
     "Kalau ayah nak duit, kerja. Kalau cuma cakap, duit tak turun dari langit," balasnya dengan suara datar. 
Sedari kecil, Kudrat tidak pernah mendengar ayahnya menggunakan suara lembut kepada mereka sekeluarga, sehingga sukar baginya untuk memperlakukan lelaki itu selayaknya seorang ayah yang harus dihormati dan disayangi. 
     "Ya Allah, sesungguhnya Kau-lah sang pemilik hati. Lembutkan hati ayah untuk berubah. Jika ini memang ujian untuk aku, kurniakan aku kesabaran yang cukup untuk menghadapi dugaanmu." Doa keramat itu kembali terulang di bibir juga hati. Luka yang   dipendam atas dasar tanggungjawab dan kasih sayang terhadap keluarga. Luka itu dirawat dengan pujian dan rayuan kepada sang Pencipta. Untuk kesudahan kisah seorang Kudrat, hanya Allah yang tahu. Selagi ada hayatnya, perjuangannya akan tegap berlanjut dengan usaha, sabar dan doa.

Popular posts from this blog

MERDEKAKAH AKU?

KISAH KOTAK, CERMIN DAN PEMBARIS