MERDEKAKAH AKU?

     Adakah aku merdeka? Dahulu, ketika aku masih kecil, bapa saudaraku yang kugelar Pak Caq, sering bercerita tentang zaman mudanya. Zaman Jepun, British, dan perjuangan untuk meraih kemerdekaan. Masa lalu yang terlalu jauh dari jangkauanku. Mungkin tidak begitu banyak kisah yang dapat kuserap, namun kuyakin, masih ada hikmah yang mampu kucerna. Pak Caq lahir pada 29 July 1936. Terlahir ketika Tanah Melayu masih belum merdeka dan masih lagi dijajah, terlahir ketika zaman yang penuh dengan pengorbanan, terlahir ketika rakyat masih berpegang teguh pada landasan perjuangan. Kisah yang sering kudengar juga, tidak jauh dari semua kata itu. Bukan tentang peperangan kerana Pak Caq bukanlah seorang askar melainkan bertugas sebagai pasukan perubatan, namun tentang kemerdekaan, kesusahan, pengorbanan, dan juga perjuangan. Semua kisah itu seringkali menggamit hatiku untuk merasa seolah berada di sana dan menanggung sama. 
     "Nak tau dak, dulu kan..." Ayat itu merupakan muqaddimah yang sering diucap sebelum Pak Caq mula bercerita. Sambil bercerita, Pak Caq sering mengusap kepala aku dan adik-beradikku yang turut sama mendengarkan kisahnya, kisah suka duka hidup orang pada zaman dahulu. Sentuhan kasih sayang yang diberi membuat aku berasa disayangi, tetapi terkadang juga mengundang kantuk. Aku akan sangat teruja ketika kisah-kisah itu bermula. Mengimbau kisah masa lampau dan seolah turut membawa aku ke sana. Ketika itu, aku hanya kanak-kanak yang tertarik untuk mengembara ke dunia lain dan alam fantasi, bukan sekadar hidup monoton yang aku lalui setiap hari. Hanya kanak-kanak yang masih penuh imaginasi walau kisah yang disampaikan itu tidak begitu melekat dihati. 
     Salah satu kisah yang serba sedikit aku masih ingat dan sering kali diulang adalah kisah seorang kanak-kanak yang menjadi guru sebelum menginjak usia remaja. Pada usia 9 tahun, terpaksa mengemban tugas sebagai seorang guru. Aku tidak tahu, apa yang dia ajarkan, yang aku tahu, jiwanya cekal, sangat cekal. Ketika usia 9 tahun, aku masih sibuk bermain, belum lagi mampu untuk berfikir soal tanggungjawab. Dari apa yang kuingat, kanak-kanak itu adalah kenalan Pak Caq, dan mungkin juga masih terkait hubungan keluarga, namun namanya tidak dapat kuingat. Ada juga kisah perjuangan dari pelajar pada zaman itu yang mahu menuntut ilmu tetapi harus berulang-alik dari rumah ke sekolah beberapa batu jauhnya. Ini berdasarkan pengalaman peribadi Pak Caq sendiri. Perjalanan jauh tanpa pengangkutan peribadi mahupun pengangkutan awam seperti sekarang. Keadaan itu sangat menuntut sesiapa yang melaluinya untuk  memiliki ketahanan fizikal dan juga keteguhan hati. Dua kisah ini sering ditujukan buat kami adik-beradik. Dahulu, aku hanya menikmati, namun kini, aku sudah mengerti. Ketika aku sudah dewasa, barulah aku faham makna tersirat yang cuba Pak Caq sampaikan. Hidup yang aku jalani sekarang sangat mudah, bahkan mungkin bagi Pak Caq, ianya teramat mudah, kalau nak dibandingkan dengan kehidupannya dahulu. Sekolah aku mungkin jauh, tetapi ada asrama dan pengangkutan awam yang tersedia. Jadi, aku perlu sentiasa ingat untuk beesyukur. Walaupun ianya terasa susah, ada yang jauh lebih susah. Walaupun ianya terasa berat, ada yang jauh lebih berat. 
     Ada ketikanya, Pak Caq akan datang ke rumah dengan membawa kuih-muih dan barang dapur yang mudah didapatkan di kampung, namun sukar untuk aku temukan di pekan. Salah satu yang menjadi kegemaran Pak Caq ialah ubi kayu. 
     "Dulu-dulu, hat ni lah Pak Caq makan. Cukup sedap dah."
     Ubi kayu rebus memang menjadi sumber karbohidrat yang utama pada ketika itu kerana kekurangan bahan makanan, dan beras pula dicatu. Dahulu, ia umpama harta,  kini, ia terlihat biasa. Aku fikir, mungkin masih ada yang belum pernah mencuba ubi kayu rebus. Setiap kali aku makan ubi kayu rebus, hati aku akan terdetik, "ni makanan zaman Jepun ni". Untuk sekarang, ubi kayu sudah kembali viral, dan mudah ditemukan di pesta makanan. 
     Kini, semuanya hanya tinggal kenangan. Pak Caq juga sudah tiada. Dia pergi pada November 2019. Serentak dengan itu, terhenti juga segala kisah yang lalu, yang tinggal kini hanyalah pengajaran yang boleh aku ambil. Hati mereka kuat, jiwa mereka cekal, semangat mereka kental. Jika aku hidup pada zaman itu, adakah aku juga memiliki kekuatan yang sama? Adakah aku cukup sabar untuk menghadapinya? Adakah aku sanggup berjuang dan berkorban demi negara? Persoalan yang tak pernah mampu untuk aku jawab. Persoalan yang sering membuat aku sedar, mungkin rasa cintaku pada tanah air kelahiranku ini tidak sehebat mereka. Tekadku untuk memelihara dan memakmurkan negara, juga tidak setinggi mereka. Mereka yang telah berjaya mengharungi segala kesulitan ini adalah bukti hidup yang perlu aku contohi. 
     Ketika aku sekolah rendah dahulu, sambutan hari kemerdekaan terasa sangat meriah. Penuh dengan sorakan, laungan dan nyanyian kemerdekaan. Terdapat juga pelbagai aktiviti kreatif seperti melukis, mewarna, membuat kolaj, basikal berhias dan sajak. Segala aktiviti ini bertemakan kemerdekaan. Jalur gemilang dan bunga raya sering kali menjadi penyeri dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Aktiviti ini diadakan dengan tujuan untuk menanam semangat patriotisme dalam diri murid sekolah rendah. Aktiviti yang menghibur, tetapi juga memiliki makna. 
     Namun, semua itu berubah ketika aku mula menginjakkan kaki ke sekolah menengah. Sambutan Hari Kemerdekaan tidak lagi terasa meriah seperti sebelumnya. Momen yang aku rasakan itu suram dan tak begitu berwarna. Bukan kerana sambutannya yang tidak meriah, tetapi kerana hatiku tidak lagi membara dengan semangat seperti dahulu. 
     "Sambutan Hari Merdeka sekolah ni tak seronoklah," itulah luahan yang sering aku ungkap saban tahun.
     Saat aku sudah dewasa, barulah aku sedar bahawa semua itu bukan berpunca dari sambutan, tetapi dari hati aku sendiri. Hati yang mula kehilangan semangatnya, mula rasa tak begitu peduli, mula rasa bosan dengan semua ini. Hati itu adalah hati yang masih perlu aku didik dengan kasih, aku semai dengan cinta, dan aku siram dengan ilmu. Setelah bertahun aku mencari makna di sebalik kata 'merdeka', akhirnya aku mula mengerti. Bagi aku, semangat api yang berkobar lalu padam dengan mudahnya, tidaklah sebanding dengan semangat api yang redup namun tetap bernyala. Mungkin, itulah perumpamaan yang tepat untuk aku gambarkan perasaanku saat ini. Syukur itu bukanlah sesuatu yang bersinar terlalu terang, namun syukur itu adalah sesuatu yang menenangkan. Syukur atas rezeki Allah, aku terlahir di bumi bertuah yang merdeka ini. Aku membesar dalam suasana aman kerana kebebasan yang kunikmati saat ini adalah hasil dari perjuangan dan pengorbanan pejuang terdahulu. Aku hidup dalam keadaan yang jauh lebih mudah kerana kesungguhan generasi terdahulu yang bertungkus-lumus dalam membuat inovasi demi mencapai kemajuan. Terima kasih yang teramat sangat aku ucapkan untuk mereka yang telah sanggup berjuang dan berkorban dan bahkan, mungkin ada di antara mereka yang tidak sempat menikmatinya, namun tetap mengizinkan aku, generasi berikutnya yang langsung tidak terlibat dalam medan perjuangan mereka ini untuk turut sama menikmati hasilnya. Adakah aku merdeka? Ya, aku merdeka. Aku merdeka kerana budi mereka.
     Al-Fatihah untuk Pak Caq, Md. Akil bin Salleh, dan juga untuk para pejuang yang mempertahankan bumi merdeka ini.

Popular posts from this blog

KISAH KOTAK, CERMIN DAN PEMBARIS

Kudrat