Hujan di Hatiku
Mata yang terpejam dibuka perlahan. Melihat dunia yang kehilangan sinarnya. Aroma hujan perlahan menusuk hidung. Air hujan yang turun dari langit umpama mutiara yang jatuh ke bumi. Akan tetapi, hujan di hatinya pula bagai peluru yang terus menghentam diri. Athirah, seorang gadis muda yang sudah menginjak usia 20 tahun, baru sahaja kehilangan ayahnya 6 bulan yang lalu. Dia telah kehilangan dua syurga dalam hidupnya. Kini, yang tinggal hanyalah sosok ibu tiri yang sudah dianggap sebagai ibu sendiri. Beberapa tahun setelah ibunya meninggal dunia, ayahnya menikahi wanita itu. Walaupun sosok ibu tiri itu tidak bisa menggantikan tempat ibunya, namun, kehadirannya telah membawa kembali cahaya yang pernah hilang. Athirah sangat menghargai ketulusan itu.
Namun, setelah pemergian ayahnya, wajah sebenar ibu tirinya mula terkuak. Wajah yang selama ini manis melayaninya, kini terlihat seperti berapi dan seolah memiliki tanduk di atas kepalanya. Bagaimana mungkin wanita itu mampu mengenakan topeng kebaikan selama bertahun-tahun? Adakah tiada lelah yang hadir? Adakah tidak sekali pun topeng itu terlepas? Athirah bingung. Dia terus mengurung diri di dalam kamar kecil itu, seperti burung yang tidak mahu keluar dari sangkarnya. Athirah terus merenung langit seolah sedang berbicara tentang rahsia hati mereka. Suasana petang yang gelap dengan hujan yang masih terus mencurah-curah membuat Athirah terus hanyut terbawa emosi. Mahligai cinta yang telah diusahakan dengan titik peluh ayah dan ibunya, kini telah bertukar tangan. Athirah harus menerima kenyataan bahawa mahligai cinta yang penuh dengan kenangan ini, bukan lagi tempatnya untuk mengukir kenangan indah yang baru. Sesak dadanya mengenangkan itu. Sekali dia melangkah keluar, dia tidak akan bisa kembali.
Lamunan Athirah terhenti apabila ada suara yang menyapa telinganya.
"Dah kemas semua barang Kau?" Soal ibu tirinya perlahan.
Athirah hanya menggeleng. Wajahnya terlihat kusam, dan rambutnya terlihat tidak terurus. Wajah yang manis itu telah kehilangan serinya. Gaya yang anggun itu kini tidak lagi memancarkan auranya. Terlihat jelas, semua kejadian ini sangat mengganggu emosinya.
"Tak kemas lag!" Suaranya mula meninggi.
Ibu tiri Athirah pantas mendekatinya sambil menggeenggam rambut panjangnya dengan kasar.
"Kemas sekarang! Kau kemas sekarang!"
Wanita itu semakin menggila. Rambut yang digenggam kasar itu dihayun dengan sekuat tenaga dan dihempaskan ke lantai dengan kuat. Rasa sakit di kepalanya tidak sebanding dengan rasa sakit di hatinya. Wanita yang dahulunya terlihat lembut dan melindungi itu umpama malaikat yang diutus untuknya. Wanita yang dahulunya terlihat solehah dan membimbing itu umpama bidadari yang menuntun langkahnya. Airmatanya terus menitis umpama mutiara yang membasahi wajah. Rasa sakit ini terlalu dalam. Mungkin dia telah kehilangan ayahnya, namun dia tidak nenyangka bahawa dia juga akan turut kehilangan ibu tiri kesayangannya dalam jangka masa yang tidak terlalu jauh.
Dengan tubuh yang sudah menyembah bumi dan mata yang masih basah, Athirah melihat sosok ibu tirinya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Sosok yang selama ini sering berbaju Kedah dan berkain batik, kini berubah menjadi sosok asing yang mengenakan dress ketat sampai ke paras paha dengan warna yang terang. Wajah yang dahulunya cantik dan lembut tanpa riasan, kini mengenakan solekan tebal dan terlihat seperti badut. Sebelum ini, ketika Athirah mula menyedari akan perubahan ibu tirinya, Athirah masih bersangka baik.
'Mungkin ibu sedih. Dia hilang orang yang dia cinta. Dulu, ayah pun macam tu juga. Waktu mama meninggal, aku pun kena marah.'
Namun sayangnya, kenyataan berkata sebaliknya.
"Tira, kau dengar sini. Aku ni kahwin dengan bapak kau, bukan sebab cinta tapi harta. Dah lah duda anak satu. Nak urus bapaknya, anaknya, kau ingat aku ni orang gaji? Kalau bapak kau tu miskin, papa kedana, tak hadaplah aku."
Kenyataan itu umpama merentap pohon cinta yang disirami kasih sayang dan telah tumbuh subur di hatinya. Direntap kasar hingga ke akar umbi. Luka besar yang terhasil atas terciptanya ruang kosong dari pohon cinta yang hilang itu tidak main-main. Ruang yang selama ini diisi dengan segenap perasan indah kini menjadi ruang yang penuh dengan luka dan darah.
Semua ini tidak akan pernah menjadi seperti sediakala. Masa yang betlalu, akan terus berlalu. Athirah gagahkan juga tubuhnya untuk duduk. Suasana tenang seketika. Athirah menghirup udara petang itu. Bau hujan sudah mulai pudar, dan hujan pun sudah mulai reda. Mata ibu tiri ditatap dalam.
"Terima kasih untuk segalanya yang ibu beri pada Tira. Untuk setiap kasih sayang, cinta dan perhatian. Untuk setiap tenaga, masa dan ruang. Untuk semuanya. Terima kasih ibu. Tira sayang ibu. Semoga ibu tenang di syurga. Ibu yang Tira sayang pun dah pergi ikut ayah, ikut mama. Yang ada kat sini cuma mak cik yang Tira tak kenal."
Athirah menarik nafas dalam untuk mengumpulkan semangat dan melanjutkan semula kata-katanya. Wajah ibu tirinya mulai menunjukkan ekspresi yang tidak menentu, marah, geram, terkejut, semuanya bercampur dalam ekspresi dari satu wajah.
"Untuk sekarang, rumah ni bukan lagi rumah Tira. Tapi Tira percaya, doa orang yang teraniaya, tak berhijab. Tira percaya, kalau rumah ni memang hak Tira, rumah ni akan kembali pada Tira dengan apa cara sekali pun. Allah Maha Menyayangi, Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Membalas. Allah tak kan biarkan Tira hilang arah. Tira harap, Allah akan balas sesiapa ja yang buat jahat pada Tira, pada keluarga Tira, dengan sebaik-baik balasan. Tira cuma orang lemah yang tak mampu melawan, tapi Tira ada Allah yang akan sentiasa membela."
Entah dari mana Athirah mendapatkan kekuatan itu, dia juga tidak tahu. Terasa seperti angin lembut yang terus menyusup ke hatinya. Athirah berdiri dengan luka di kepala yang sudah mengering. Ibu tirinya hanya terdiam seperti patung. Tidak mampu bergerak, tidak mampu berkata-kata.
Tuala di ampaian dicapai, terus menuju ke kamar mandi. Athirah membersihkan diri dengan betul sebelum menemui Sang Pencipta sebentar lagi. Dia pernah kehilangan arah akibat tekanan, namun kini dia sedar, bahawa Sang Pencipta itulah merupakan sebaik-baik sandaran untuknya. Athirah mengemaskan barang-barangnya. Esok, dia akan pulang ke kampus, dan berhajat menjadikan kampus sebagai rumah baharunya. Sebelum betul-betul melangkah keluar dari rumah itu, Athirah memberikan satu kata-kata terakhir buat 'mak cik' asing di rumahnya.
"Semoga kekasih baru mak cik tu, boleh beri apa yang mak cik cari."
Ringkas sahaja, namun mampu membuat wanita itu terdiam. Dia dipaksa keluar dari rumah itu juga kerana lelaki baru itu. Athirah melangkah keluar tanpa menoleh ke belakang lagi. Semua kenangan itu akan tetap menjadi miliknya walaupun rumah itu bukan lagi untuknya. Hujan di langit sudah berhenti, namun hujan di hatinya akan terus mengalir.